Sunday, May 23, 2010

SEBUAH LATIHAN KEMATIAN

Kereta Myvi yang kupandu meluncur laju menuju surau An-Nur. Aku dapat mengagak siapakah penceramah pada malam itu melihatkan bilangan kereta yang luar biasa banyaknya. Keluar sahaja dari kereta, suara Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din jelas kedengaran dari corong speaker surau. Surau ini merupakan surau kegemaranku di Bandar Baru Bangi kerana penceramah yang dijemput tiap-tiap hari hebat-hebat belaka. Surau ini juga sangat selesa kerana dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya. Melihatkan muslimin dan muslimat yang membanjiri surau ini sudah cukup membuatkan hatiku bahagia. Alhamdulillah, masih ramai yang mencintai dan menghargai ilmu disaat arus kemodenan dan hiburan kuat melanda.

Selepas kuliah Feqah dan solat Isyak berjemaah, aku terus melangkah ke keretaku. Kebiasaannya, aku akan membaca doa perjalanan sambil menghidupkan enjin. Malah, aku selalu membacanya dengan kuat agar diaminkan oleh penumpang, dan pada masa yang sama memberi contoh agar mereka mengamalkannya. Entah mengapa, kali ini aku lupa…

Perutku mula berkeroncong. Baru aku sedar jam sudah menunjukkan pukul 9.45 malam namun aku belum lagi menjamah makan malam dek kesibukan menguruskan hal penting di KL sehari suntuk. Sambil memandu dengan badan yang sudah letih dan perut yang kosong, fikiranku melayang memikirkan gerai burger yang bakal kusinggah. Akan kubeli dua, satu buatku dan satu adikku yang akan kuambilnya dari tuisyen selepas ini. Pasti dia gembira. Fikiranku melayang dan terus terbang jauh.

Tiba-tiba semasa aku melintas jalan, sebuah kereta memecut laju dan merempuhku dari arah sisi. Hentakan terus mengena pada bahagian kanan badanku. Rasa perit mula merebak. Nafasku pendek dan sakit ditulang rusukku mula terasa tatkala menarik nafas. Alhamdulillah, perkara pertama yang terpacul dibibirku secara spontan adalah kalimah Allahuakbar! Sebuah kalimah agung yang hanya pada-NYA aku berserah dan hanya pada-NYA aku kembali. Entah mengapa, kalimah luar biasa ini telah memberikan aku ketenangan dan kedamaian serta mengubat kesakitanku.

Aku terus menerus mengucapkan Allahuakbar sambil keretaku terus dirempuh dan diheret sepanjang 3 meter. Hanya mulutku yang berbicara tanpa suara. Aku berdoa, Ya Allah jika hembusan nafasku yang tersekat-sekat ini adalah nafasku yang terakhir, maka tariklah ia dengan kalimah Allah dibibirku, aku redha. Ingin aku buktikan padamu Ya Allah, bersaksilah bahawa aku adalah hamba-Mu yang terus mengabdi pada-Mu hingga saat akhir hidupku. Terimalah pengabdianku ini ya Allah, dan sesungguhnya mati dalam husnul khatimah adalah cita-cita teragungku. Jika tidak Ya Allah, berilah aku masa untuk memperbaiki diriku ini Ya Allah.

Alunan kalimah Allahuakbar cukup menenangkan, mindaku hanya fokus mengingati Allah, tak ku hirau lagi apa yang berlaku disekelilingku. Semakin aku mengingatiNYA, tulang belulangku yang sakit menjadi semakin kebas. Ayuh tulang belulangku, mari sama-sama kita hayati kalimah mulia ini, sesungguhnya engkau juga adalah ciptaan-NYA. Mari sama-sama menghadap-NYA dengan penuh rasa kerendahan.

Orang-orang disekeliling terlihat asap yang berkepul-kepul keluar dari keretaku yang diheret. Mereka lari kearahku, dan memaksaku membuka pintu dengan segera, bimbang kereta itu akan terbakar. Aku tersedar dari lamunan dan terus menerpa keluar. Barulah aku perasan bau asap yang menebal disekitar keretaku. Alhamdulillah, tiada satu pun anggota badanku yang cedera parah. Semakin ramai orang yang mengerumuniku dan memberikan pertolongan. Ya Alah, Engkau balaslah jasa baik mereka, sesungguhnya aku seorang yang benar-benar memerlukan pertolongan pada masa itu.

Terus terang kukatakan, perkara yang paling ku geruni dalam dunia ini adalah mati bukan dalam husnul khatimah (suul khatimah). Sebagai seorang pelajar perubatan, aku pernah berhadapan dengan lebih kurang 6 kematian, malah beberapa orang dari mereka aku lakukan CPR disaat hembusan nafas terakhir mereka. Namun, tak seorang pun dari mereka yang sempat mengucap kerana terlalu nazak. Aku hanya mampu melafazkan syahadah dengan harapan mereka dapat mengikutiku. Namun, ujian kematian yang kuterima ini memberikan aku sinar dan menyebabkan aku lega sedikit kerana aku masih mampu mengingati-NYA di saat kritikal dan mengejut itu..Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini diatas agama-MU dan ketaatan-MU, dan matikan aku dalam keredhaan-MU Ya Allah.

Keesokan hari, ibuku bertanya adakah aku melakukan hasad mata sebelum kemalangan semalam. Tidak ramai orang di Malaysia yang tahu tentang hasad mata. Aku sendiri baru mengetahuinya beberapa minggu lepas dalam tazkirah yang disampaikan Ustazah Dr. Fatma El-Zahra. Ustazah ada menyebut tentang sabda Nabi SAW yang berbunyi;
“Kalaulah ada benda yang lebih cepat dari qada’ dan qadar, benda itu ialah MATA. Awasilah ‘hasad mata’ atau ‘lontaran mata’.

Kemudian beliau berkongsi salah satu pengalaman beliau dimana beliau terdetik di hati memuji cermin matanya yang tidak pernah rosak walaupun telah memakainya selama 5 tahun, dan pada hari itu juga cermin matanya rosak. Oleh itu, ustazah menyarankan kita, sekiranya ada sesiapa yang memuji kita, balaslah dengan ucapan “MasyaAllah, La hawla wala quata Illa billah”.Sebagai pendinding daripada bahaya mata jahat ini, ustazah Fatima El-Zahra juga berpesan supaya kita mengamalkan bacaan kalimah;

” A’uzubikalimatillahittammah, min kulli syaitanin wa hammah, wa min kulli ainin-lammah”

Kini baru aku perasaan bahawa aku telah melakukan hasad mata semalam. Gara-gara takut terlewat menghantar adik ke tuisyen pada malam itu, aku memecut dari KL ke rumahku di Bangi, tapi masih pada kelajuan yang ditetapkan. Hatiku terdetik “hebat juga aku memandu, walaupun jam, tak sampai sejam dah sampai rumah”….dan aku lupa mengucapkan MasyaAllah, malah doa pendinding yang diajar oleh Ustazah belum pernah lagi aku amalkan. Astaghfirullah..

Mungkin inilah peringatan dari Allah buat manusia yang alpa, bagi diriku yang seringkali lupa dari mengingati-NYA dalam setiap pekerjaan. Yang lupa bahawa segala-galanya bukan milikku, tapi milik Allah. Yang terlalu sibuk akan hal dunia, sehingga lupa ia adalah ladang sementara menuju akhirat, sedang malaikat maut sudah lama bersiap sedia untuk mencabut nyawaku pada waktu yang ditetapkan. Ampunkan aku Ya Allah atas dosa-dosaku yang tak terkira bagaikan pepasir di pantai, hinanya diriku yang jika kau tidak lindungi aibku yang menggunung ini, mana mungkin aku mampu berjalan di muka bumi milikmu ini. Namun, kau tetap menyayangiku, menegurku dan mengilhamkan daku dengan latihan sakaratul maut yang maha dahsyat ini, sekalipun kubayar mahal harganya. Ya Rahman, Ya Rahim, Engkaulah tempat pergantungan dan matlamat seluruh hidupku, jiwa dan ragaku..Amin.

Wednesday, July 1, 2009

Salam Perdamaian


Kalau didalam blog ini ada Iman, Islam dan Ihsan,
Bukan bererti ekslusifisme aliran atau agama,
Tapi keinginan untuk menyampaikan cahaya.

Kalau didalamnya ada Al Qur'an,
Itu bukan bererti untuk golongan,
Tapi untuk seluruh umat manusia.

Bukan Al Qur'an untuk Islam,
Bukan dunia untuk Islam,
Tapi Al Qur'an dan Islam untuk Dunia,
Islam merindukan perdamaian sejati,
Bersama dengan yang lain.

Salam perdamaian
buat teman-teman yang melawati blog ini...


(Edited from ESQ)